Daisypath Wedding tickers

Wednesday, April 28, 2010

Munajat HambaMu



Ya Allah yang maha pengampun lagi maha penyayang, Engkau ampunilah dosa-dosa kami. Segala kelemahan si suami, ada pada kelebihan yang Engkau pakaikan kepada si isteri. Begitu juga dengan kekurangan si isteri, si suami menjadi pakaian yang terbaik buatnya. Sungguh Engkau sebaik-baik perancang. Maha mengetahui setiap zarah kejadian.

Ya Allah yang maha mendengar, kami sudah berusaha memilih yang terbaik. Namun kami juga sedar, manusia itu hanyalah insan. yang dikurniakan sifat alpa. Perlu sentiasa dipesani, harus selalu diingati. Kami lalai ya Allah. Kami lupa padaMu ya Allah. Ampunkan kealpaan dan kelalaian kami. Kami sama-sama berdosa. Maka kurniakanlah belas kasihan Mu ya ALLAH. Sinarilah cahaya keampunan Mu ya ALLAH ya Zaljalal liwalikram
.
Ya Allah, melihat kepada kekurangan itu lebih mendekatkan kami kepadaMu. Sesungguhnya kami hanya bergantung kepadaMu. Betapa tingginya harapan kami untuk melihat suami menjadi pendidik keluarga. Betapa menggunungnya impian kami melihat si isteri menjadi penghibur keluarga. Namun hanya Engkau sebaik-baik Pendidik. KitabMu mengingatkanku, Engkau tidak akan merubah nasib seseorang melainkan dirinya sendiri yang mahu mengubahnya.

Ya Allah, kami telah berusaha menjadikan hidup kami bersama sebagai permulaan hidup yang terbaik. Namun kami sedar, jalan yang lurus itu penuh onak ranjau yang berduri. Untuk kami terus istiqamah, kitabmu perlu dibelek dan direnung. Golongkan kami berdua, ya ALLAH ke dalam golongan yang berfikir, yang merenung kejadianMu yang tiada tolok bandingan sepanjang zaman, yang mensyukuri segala zarah nikmatMu, yang tetap di atas jalanMu.

Ya Allah kurniakan kami kekuatan, kesabaran, ketenangan hati dan kebahagiaan dunia dan Akhirat. Sesungguhnya Engkau Tuhan yang maha mendengar rintihan hamba-hambamu.

Ameen Ya Rabbal Alamin...

No comments:

Post a Comment

 

Design By:
Movass